PENGENALAN & OBJEKTIF
- Penerimapakaian SOP ini adalah bersempena dengan pengumuman tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) di mana sebahagian besar industri dan aktiviti perniagaan di Sarawak dibenarkan beroperasi mulai 17 Jun 2020.
- Kebenaran beroperasi ini tertakluk kepada persediaan dan langkah-langkah yang diambil oleh perniagaan untuk memastikan pematuhan kepada Garis Panduan (SOP) yang telah ditetapkan di dalam dokumen ini.
- SOP yang disediakan adalah untuk memastikan aspek kesihatan diutamakan dan terjamin dalam persekitaran di mana penularan wabak Covid-19 masih merupakan ancaman yang benar. SOP ini berhasrat untuk mengurangkan risiko kesihatan kepada orang awam dan di premis perniagaan, sekaligus mengelakkan perkhidmatan kesihatan di Negeri Sarawak dibebani sehingga tahap yang luar kawalan.
- Melainkan sektor-sektor yang dinyatakan dalam Senarai Aktiviti Yang Dilarang, kesemua sektor perniagaan yang lain dibenarkan untuk dibuka semula dan beroperasi berdasarkan SOP yang diluluskan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) Sarawak untuk digunapakai.
- Kewajipan dan syarat sektor-sektor untuk mematuhi SOP terkandung di dalam “Protection of Public Health (Measures On The Carrying Out of Activities and Movement of Persons Within Infected Local Areas) Order, 2020” yang berkuatkuasa pada 10 Jun 2020 sehingga 31 Ogos 2020. Arahan ini hendaklah dibaca bersama dengan “Prevention and Control of Infectious Diseases (Measures within Infected Local Areas)(No.7) Regulations 2020 [P.U.(A)181/2020]” dan “Prevention and Control of Infectious Diseases (declaration of Infected Local Areas)(Extension of Operation)(No.5) Order 2020 [P.U.(A)180/2020]”.
- Semua pemilik perniagaan atau aktiviti mesti mengemukakan Notifikasi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian mengikut lokasi perniagaan atau aktiviti di Bahagian masing-masing.
- Kegagalan untuk mematuhi SOP boleh membawa kepada tindakan undang-undang, penarikan balik kebenaran beroperasi atau apa-apa tindakan yang berkaitan. Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian dengan PDRM dan lain-lain badan penguatkuasa akan membuat pemantauan dan penguatkuasaan dalam usaha memastikan SOP dipatuhi. Perniagaan diingatkan untuk sentiasa berhubung dengan badan Kerajaan seliaan yang bertanggungjawab untuk sebarang perkembangan terkini.
NORMA BAHARU DALAM PERNIAGAAN & KEHIDUPAN
- SOP ini mengambil kira norma baharu dalam pengendalian perniagaan dan kehidupan harian. Pendekatan yang diambil kerajaan adalah pendekatan seluruh lapisan masyarakat, atau whole of society approach. Kaedah pendekatan ini adalah penting dalam memastikan pemulihan semula ekonomi Sarawak ini dapat dilakukan dengan lancar, selamat dan berkesan.
- Individu berperanan untuk menjaga diri dan keluarga; Komuniti setempat bertanggungjawab memastikan kesejahteraan dan keselamatan di kalangan jiran-jiran; dan majikan bertanggunjawab memastikan pekerja dan operasi perniagaan mengamalkan tabiat kebersihan yang tinggi di samping mematuhi SOP.
Norma baharu merangkumi perkara-perkara berikut, iaitu:
(i) Mengamalkan langkah-langkah kesihatan:
- Penjarakan sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter, sebaik-baiknya 2 meter dalam semua keadaan
- Memakai pelitup muka; digalakkan setiap masa, diwajibkan dalam keadaan tertentu
(ii) Menggalakkan amalan kebersihan yang tinggi
- Kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand-sanitizer
- Menyediakan kemudahan ini untuk pekerja dan pelanggan
- Memastikan pembersihan (sanitizing) premis dibuat pada kadar yang kerap dan konsisten, sekurang-kurangnya 2 hingga 3 kali sehari.
(iii) Mengamalkan amalan-amalan pencegahan jangkitan:
- Memastikan terdapat protokol pemantauan penyakit dan pencegahan penularan jangkitan
- Kesemua pekerja diperiksa setiap hari untuk simptom Covid-19 termasuk pemeriksaan suhu badan
- Di mana penjarakan sosial tidak boleh diamalkan, pekerja mesti menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang sesuai
- Melaporkan kepada Jabatan Kesihatan sekiranya terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19
- Melatih pekerja untuk memantau dan bertindak sekiranya terdapat kes yang disyaki timbul
- Kanak-kanak dan Warga Emas tidak digalakkan berada di tempat dan kemudahan awam kecuali atas keperluan penting sahaja
(iv) Menggunakan Sistem Digital Di Dalam Perniagaan
- Penggunaan kemudahan pembayaran secara e-tunai melalui SarawakPay atau e-dompet lain digalakkan.
- Menggunakan pertemuan secara temujanji atau tempahan atas talian.
(v) Amalan Merekod Pekerja/Pelanggan (Contact Tracing):
- Menyediakan daftar rekod pekerja, penghantar bahan, pelawat dan pelanggan di dalam premis
- Semua operator perniagaan dan pelanggan digalakkan untuk memuaturun aplikasi MySejahtera dan CovidTrace Sarawak untuk tujuan rekod dan pendaftaran
- Mengadakan rekod mengesan kedudukan pelanggan di premis perniagaan
- Tapak niaga sistematik bagi peniaga atau penjaja harian
(vi) Mengelakkan sebarang bentuk aktiviti yang dilarang:
- Semua bentuk aktiviti di dalam Senarai Aktiviti Dilarang adalah tidak dibenarkan.
- Sebarang tambahan aktiviti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa.
Senarai aktiviti ini tidak dibenarkan berdasarkan justifikasi yang dikeluarkan oleh KKM seperti berikut:
- Sukar untuk mengawal keadaan di mana terdapat ramai orang pada satu-satu masa
- Kemungkinan pendedahan kepada droplets
- Sukar untuk mengawal keperilakuan
- Kemungkinan menjadi kontak rapat kerana berada dalam kawasan yang sama untuk masa yang panjang (close continuous contact)
- Keberadaan dalam ruang rapat (confine space) dan tertutup dalam tempoh yang lama.
Senarai aktiviti yang dilarang:
- Penganjuran acara dan pertandingan sukan.
- Sukan sentuh.
- Aktiviti taman tema air dan taman air.
- Aktiviti kolam renang (selain kolam renang di rumah persendirian dan kolam renang untuk kegunaan persendirian di premis penginapan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]) kecuali untuk Latihan atlet negara bagi penyertaan di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
- Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang melibatkan pelancongan asing memasuki Malaysia.
- Aktiviti di pusat karaoke, tempat permainan kanak-kanak di pusat membeli belah dan pusat hiburan keluarga.
- Aktiviti di dalam pub dan kelab malam, kecuali perniagaan restoran di dalam pub dan kelab malam.
- Menyedang pakaian, penggunaan bilik acu di kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen di kedai dan menyediakan sampel penguji kosmetik di kedai.
- Aktiviti refleksologi dan urut di dalam establismen kesihatan dan kecantikan.
- Aktiviti kapal persiaran.
- Apa-apa aktiviti yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan sosial dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah KKM
Nota: Senarai Aktiviti setakat 10 Jun 2020 dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa.
Sumber:https://www.mkn.gov.my/web/wp-content/uploads/sites/3/2020/06/1-Senarai-Aktiviti-yang-Dilarang-MKN-_-10-Jun-2020.pdf
For more information on the SOP, please visit https://mlgh.sarawak.gov.my